KUCHING: Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS) melaksanakan Operasi Bersepadu Pelepasan Asap Hitam dari Kenderaan Motor di Jalan Kuching-Serian di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Hamzah Mohamad berkata, dari Januari hingga semalam, sebanyak 15 operasi dilaksanakan di seluruh Kuching dan sejumlah 41 kompaun dikeluarkan.
“Pada hari ini (semalam) sebanyak 93 kenderaan diesel berbagai jenis diperiksa dan sebanyak enam tawaran kompaun dikeluarkan bagi kesalahan melepaskan asap hitam melebihi had ditetapkan.
“Sebanyak tujuh notis arahan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang terbabit bagi menjalani ujian semula.
“Jumlah anggaran kompaun tersebut dianggarkan sebanyak RM70,000.”katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Operasi Bersepadu Pelepasan Asap hitam Kenderaan (Ops Gerak) bersama agensi penguatkuasa di Jalan Kuching-Serian, di sini, semalam.
Hamzah berkata, penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1996 itu juga dilaksanakan untuk mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan ke atas kenderaan bermotor enjin diesel.
“Ops Gerak ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memastikan pelepasan asap hitam dari kenderaan mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) iaitu Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel, 1996.
“Standard bagi pelepasan asap hitam adalah tidak melebihi 50 Hartridge Smoke Unit (HSU) yang ditetapkan dalam PPKAS.
Menurut Hamzah, tindakan yang dikenakan termasuk mengeluarkan kompaun dengan nilai maksimum RM2,000 bagi setiap kesalahan.
“Sekiranya pemilik kenderaan gagal membayar kompaun dalam tempoh yang ditetapkan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.
“Oleh itu, kita menggesa kepada pemilik kenderaan khasnya pemilik enjin kenderaan enjin diesel untuk sentiasa memastikan kenderaan diselenggara secara berkala dan melakukan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat,”ujarnya.
Operasi tersebut melibatkan enam agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan PUSPAKOM.
Dalam operasi itu juga JPJ memeriksa sebanyak 253 kenderaan dan jumlah notis dikeluarkan 21 untuk pelbagai jenis kesalahan.
Sementara itu, AADK melakukan saringan air kencing ke atas 62 individu dan 10 orang didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan syabu.