
MUKAH: Penduduk di Bahagian Mukah bakal menikmati kemudahan perhubungan yang lebih lancar apabila Jambatan Batang Igan dijadual dibuka kepada orang awam pada 16 Mac ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan pembukaan jambatan tersebut sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk setempat yang sekian lama bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menyeberangi Batang Igan.
Menurut kenyataan itu, pembukaan jambatan berkenaan bukan sahaja memudahkan perjalanan harian penduduk, malah dijangka merancakkan lagi aktiviti ekonomi serta meningkatkan hubungan antara kawasan sekitar.
“Inisiatif ini juga boleh dianggap sebagai hadiah istimewa menjelang sambutan Aidilfitri, khususnya kepada penduduk di bahagian Mukah yang bakal menikmati perjalanan lebih cepat dan selesa,” menurut kenyataan tersebut.
Dengan siapnya projek berkenaan, katanya, kebergantungan terhadap perkhidmatan feri di Batang Igan dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan di kawasan berkenaan.
JKR Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan infrastruktur berkualiti bagi memastikan kesejahteraan serta kemudahan rakyat di negeri ini terus dipertingkatkan.
Oleh Tarani Lanting