

SPAOH: Seorang penduduk Kampung Hilir Spaoh dikejutkan dengan kemunculan seekor ular ketika sedang bersahur di kediamannya awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk, Mus Isa pada 5.26 pagi selepas ternampak kelibat ular di dalam rumahnya.
Bertindak atas laporan itu, seramai empat anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari Skuad Bravo yang diketuai Sarjan Hasla Deli bergegas ke lokasi kejadian dengan menggunakan ambulans pacuan empat roda bersama peralatan khas menangkap ular.
Sebaik tiba di lokasi, anggota APM melakukan pemeriksaan serta pencarian di dalam rumah, khususnya di bahagian bilik seperti yang dimaklumkan oleh pengadu.
Hasil pemeriksaan mendapati seekor ular sawa berada di bahagian atap rumah sebelum berjaya ditangkap oleh anggota penyelamat.
Ular sawa sepanjang kira-kira tiga kaki itu ditangkap menggunakan kaedah menyepit sebelum dimasukkan ke dalam kotak khas haiwan berbisa bagi memastikan keselamatan.
Haiwan tersebut kemudian dibawa ke PKOD APM Spaoh sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya.
Sehubungan itu, APM menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi kecemasan atau penemuan haiwan berbisa di kediaman.
Orang ramai boleh menghubungi talian APM Spaoh di 083-473006 atau talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera.
Oleh Adi Safarman