
KUCHING: Trend pemindahan mangsa banjir di Bahagian Kuching terus mencatatkan peningkatan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat setakat 8.00 malam ini.
Berdasarkan laporan terkini bencana negeri Sarawak, seramai 325 mangsa daripada 91 Ketua Isi Rumah (KIR) kini ditempatkan di dua PPS yang dibuka di daerah Kuching.
Dua PPS yang beroperasi ialah Dewan R-Piang yang menempatkan 112 mangsa daripada 23 KIR, manakala Dewan Masyarakat Stapok menempatkan 213 mangsa daripada 68 KIR.
Kedua-dua PPS berkenaan dibuka pada hari ini susulan peningkatan paras air di beberapa kawasan rendah akibat hujan berterusan.
Setakat ini, trend pemindahan mangsa menunjukkan peningkatan apabila lebih ramai penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS bagi memastikan keselamatan mereka.
Pihak berkuasa bersama agensi penyelamat dan pengurusan bencana negeri terus memantau situasi semasa serta bersiap sedia sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
Penduduk di kawasan berisiko juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke PPS.
Oleh Adi Safarman