
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah meluangkan masa berkunjung ke KWC Fashion Wholesale yang terletak di Jalan Gelugor, Pudu, di sini, hari ini.
Antara tujuan utama kunjungan Tun Wan Junaidi ke gedung membeli-belah ini ialah untuk membeli jubah dan kopiah bagi kegunaan harian.

Setelah selesai membuat pembelian, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut berbual dan berswafoto dengan beberapa orang pengunjung yang merupakan anak Sarawak, yang kebetulan membeli-belah di lokasi yang sama.
Pusat beli-belah KWC Fashion Wholesale ataupun lebih dikenali sebagai Kenanga merupakan antara pilihan pusat membeli belah yang cukup sinonim di ibu negara dengan kepelbagaian jenis pilihan pakaian lelaki, wanita mahupun kanak-kanak dengan tawaran harga yang mampu milik.