
BAU: Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu di kawasan Gunung Tasik Biru berjaya ditemui dalam keadaan selamat sebelum dibantu pihak bomba untuk dibawa turun dari kawasan pergunungan tersebut, hari ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan 11.38 pagi berhubung permohonan bantuan daripada ahli keluarga mangsa yang menemui lelaki terbabit dalam keadaan lemah.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau bergegas ke lokasi kejadian di Jalan Tasik Biru By Pass dan tiba 11.57 pagi selepas menempuh jarak sekitar tiga kilometer.

“Operasi diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Awang Saifull Awang Nusi. Mangsa didapati berada dalam keadaan stabil dan sedar ketika ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pasukan bomba bertindak membawa mangsa turun dari kawasan gunung menggunakan pengusung bagi memastikan keselamatan mangsa sepanjang operasi.
Operasi berjaya dikawal 12.12 tengah hari dan ditamatkan sepenuhnya 12.17 tengah hari. Sebaik tiba di kaki gunung, mangsa diserahkan kepada Unit EMRS untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa, Liew Kim Ted, disahkan selamat dan kini menerima rawatan susulan.
Oleh Norman B