
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengesan pelbagai kesalahan terhadap motosikal yang diubah suai secara ekstrem dalam pemeriksaan sempena Ops TBC 2026 di sini semalam, sekali gus menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik yang melanggar peraturan.
Dalam satu kenyataan, JPJ Sarawak memaklumkan antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mempamerkan nombor pendaftaran hadapan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, lampu brek tidak mengikut spesifikasi serta pengubahsuaian ekzos tanpa kelulusan.
Turut dikesan ialah penggunaan tayar tidak mengikut spesifikasi, nombor pendaftaran belakang tidak mematuhi piawaian, tiada brek belakang, tiada lesen memandu yang sah serta tidak dilengkapi cermin sisi.

Menurut kenyataan itu, kesalahan berkenaan bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang, malah berpotensi mengundang risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan dan tindakan akan dilaksanakan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
Orang ramai khususnya pemilik dan pemandu kenderaan diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan asal yang dibenarkan serta mematuhi sepenuhnya spesifikasi keselamatan yang telah ditetapkan kerana keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama.