
LIMBANG: Lelaki tempatan yang bekerja sebagai mekanik ditahan kerana memiliki dadah disyaki syabu dalam satu operasi khas di Kampung Patiambun, semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira 2.10 petang menerusi Ops Tapis harian yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang.
Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, pihak polis menemui satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.30 gram yang cuba disorokkan suspek.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai mula terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak pertengahan 2025.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Limbang mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan dadah yang boleh membawa padah kepada diri sendiri dan keluarga.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah atau jenayah diminta menyalurkan maklumat kepada IPD Limbang di talian 085-211466, hotline 24 jam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di talian 017-5929211 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Adeng Edrus