
BINTULU: Sebanyak 261 lot gerai bazar Ramadan dibuka di enam lokasi utama sekitar Bintulu dan Samalaju tahun ini dengan aspek kebersihan serta keselamatan makanan terus menjadi keutamaan sepanjang penganjuran.
Perasmian Bazar Ramadan 2026 di Bintulu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee di Taman Budaya, ParkCity Bintulu di sini, semalam.
Menurut beliau, penganjuran bazar bukan sahaja memberi peluang kepada peniaga menjana pendapatan tambahan sempena Ramadan, malah menjadi tumpuan masyarakat mendapatkan juadah berbuka puasa.
Katanya, semua peniaga perlu memastikan kebersihan gerai sentiasa terjaga selain menyediakan makanan yang selamat dan berkualiti kepada pelanggan.
“Kebersihan kawasan bazaar dan pengendalian makanan yang baik amat penting bagi menjamin keselesaan serta keyakinan pengunjung,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama antara peniaga, penganjur dan pengunjung amat diperlukan bagi memastikan suasana bazaar kekal bersih, selamat dan teratur sepanjang bulan Ramadan.
Bazar Ramadan anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) itu melibatkan enam lokasi iaitu Taman Budaya ParkCity, Pusat Komersial Medan Assyakirin, Pusat Komersial Kidurong, Tapak Menjaja E-Mart, Pusat Komersial Samalaju serta Parkir Press Metal Samalaju.
Sementara itu, Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari berkata, penganjuran tahun ini turut memberi penekanan terhadap pengurusan sisa dan amalan mesra alam selaras dengan usaha menjadikan Bintulu bandar yang inklusif, selesa didiami dan mampan.

Antara inisiatif dilaksanakan termasuk Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai, pengurangan penggunaan plastik sekali guna serta galakan penggunaan pembungkusan mesra alam dalam kalangan peniaga.
Beliau berharap penganjuran bazar Ramadan kali ini dapat terus menyokong ekonomi komuniti setempat sambil mengekalkan standard kebersihan yang tinggi.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan Asgar Khan; Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti; Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey; Timbalan Pengurus Besar BDA, Abdul Rahim Abdullah; serta Penolong Pengurus Besar (Khidmat Environmen) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Bazar Ramadan 2026, Prie Nyangan.
Oleh Carolyne Utih