
BEKENU: Sebanyak 30 masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu menerima sumbangan buah kurma dan bantuan kewangan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti sepanjang Ramadan.
Sumbangan itu bertujuan membantu pihak pengurusan masjid dan surau merancang pelbagai program keagamaan serta aktiviti kemasyarakatan.
Penyerahan itu telah dilakukan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus di Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.71 di sini semalam.
Katanya setiap masjid dan surau menerima peruntukan sebanyak RM1,000 bagi meringankan kos penganjuran aktiviti seperti majlis berbuka puasa, pengisian ilmiah serta program antara waktu Maghrib dan Isyak.
Selaras dengan tradisi tahunan, pejabat ADUN Bekenu turut merancang program ziarah Ramadan melalui pasukan khas yang akan mengunjungi masjid dan surau bagi mengeratkan hubungan silaturahim bersama komuniti setempat.
“Program kita hari ini adalah menyampaikan sumbangan berbentuk kurma dan juga kewangan supaya pihak masjid dan surau dapat mengatur acara sepanjang Ramadan.
“Acaranya mungkin berupa pengisian-pengisian sewaktu antara Maghrib dan Isyak contohnya ataupun aktiviti lain yang akan dikelolakan oleh pihak masjid dan surau dan selain daripada itu juga pada Ramadan ini pejabat kita ada mengatur Ziarah Ramadan ke masjid dan surau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempromosikan tiga lokasi bazar Ramadan iaitu di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Bekenu, Batu Niah dan Kampung Pejuang Kelulit yang menawarkan pelbagai juadah termasuk kuih-muih tradisional bagi merancakkan ekonomi peniaga tempatan.
Oleh Adum Liu