Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sarawak percepat persiapan, sasar Sukan SEA 2027 terbaik dalam sejarah
  • SUKAN

Sarawak percepat persiapan, sasar Sukan SEA 2027 terbaik dalam sejarah

Utusan Sarawak 4 hours ago
KENANGAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama Mordi Bimol serta delegasi selepas kunjungan hormat oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Persekutuan, Tuan Mordi Bimol ke pejabat Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) di Tingkat 17, Baitulmakmur II, hari ini. Foto Shikin Mahmud

PETRA JAYA: Sarawak berada di landasan kukuh dalam persiapan penganjuran Sukan SEA 2027 dan memberi jaminan untuk menjadikannya antara temasya terbaik pernah dianjurkan di Malaysia.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kerajaan negeri kini mempercepat semua urusan termasuk penyediaan fasiliti, prasarana serta perancangan majlis pembukaan bagi memastikan temasya berlangsung lancar dan berprestij.

“Kita mahu semua perkara dipercepatkan. Taklimat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg termasuk berkaitan semua fasiliti akan dibentangkan, dan dalam mesyuarat Kabinet hujung bulan ini juga akan ada banyak kertas yang melibatkan pembangunan prasarana bagi Sukan SEA.

“Kita amat serius dan mahu memastikan penganjuran Sukan SEA ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin serta menjadi yang terbaik pernah dianjurkan Malaysia,” katanya.


Menurut beliau, walaupun berbaki kira-kira setahun sebelum temasya berlangsung, kebanyakan gelanggang sukan berada dalam keadaan baik dan kerja naik taraf kini lebih tertumpu kepada kemudahan sokongan.

Jelasnya, bagi acara seperti tenis, kerja naik taraf tidak melibatkan permukaan gelanggang kerana ia sudah memenuhi piawaian antarabangsa.

“Naik taraf lebih tertumpu kepada galeri penonton, tempat duduk, bilik menunggu, bilik  tetamu kehormat (VIP), kafeteria serta sistem lampu limpah. Ia tidak menjejaskan gelanggang kerana kemudahan sedia ada sudah berada pada tahap sangat baik,” ujarnya.

Beliau menegaskan semua kontraktor diwajibkan menyiapkan kerja naik taraf sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum Sukan SEA bermula bagi memberi ruang kepada ujian teknikal dan persiapan akhir.


Abdul Karim berkata, kerajaan negeri komited memastikan semua fasiliti yang akan digunakan berada pada tahap terbaik bagi menyambut kehadiran negara-negara peserta.

“Kita mahu semua kemudahan berada pada tahap terbaik untuk menyambut delegasi dan atlet dari seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, bersama rombongan Kementerian Belia dan Sukan di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II, di sini hari ini.

Sarawak sebelum ini turut menyatakan komitmen kewangan bagi menjayakan penganjuran tersebut dan yakin pengalaman menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa akan menjadi kekuatan utama negeri dalam memastikan kejayaan Sukan SEA 2027.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Sukan platform pupuk bakat, jana ekonomi penduduk luar bandar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.