
KUALA LUMPUR: SpaceX telah mengalihkan fokusnya ke arah membina sebuah bandar di Bulan, dengan pengasasnya Elon Musk menyatakan bahawa projek itu mampu direalisasikan dalam tempoh 10 tahun.
“Bagi mereka yang tidak menyedari, SpaceX telah pun mengalihkan fokus kepada pembinaan bandar di Bulan, memandangkan kita berpotensi mencapainya dalam masa kurang 10 tahun, manakala Marikh akan mengambil masa lebih 20 tahun.
Misi SpaceX tetap sama – meluaskan tahap kesedaran dan kehidupan yang kita ketahui ke bintang-bintang,” katanya menerusi hantaran di platform X, semalam.
Musk berkata misi ke Marikh hanya boleh dilaksanakan apabila kedudukan planet-planet sejajar setiap 26 bulan dengan tempoh perjalanan selama enam bulan, manakala perjalanan ke Bulan boleh dilakukan kira-kira setiap 10 hari dengan tempoh perjalanan hanya dua hari.
“Ini bermakna kita boleh melakukan proses itu berulang-kali dengan jauh lebih pantas untuk menyiapkan bandar di Bulan berbanding bandar di Marikh.
Walau bagaimanapun, SpaceX akan tetap berusaha untuk membina bandar di Marikh dan mula melakukannya dalam tempoh kira-kira lima hingga tujuh tahun lagi, tetapi keutamaan paling utama adalah untuk menjamin masa depan tamadun manusia dan (projek) Bulan adalah lebih pantas,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa pada 2020, Musk menyasarkan untuk menghantar misi tanpa pemandu ke Marikh seawal akhir 2026.
-Bernama