Sarawak mahu kemajuan digital buka peluang kepada rakyat dan anak muda

Facebook
WhatsApp
UCAPAN…Dato Sri Julaihi Narawi ketika berucap pada majlis makan malam IDECS 2026 di sebuah hotel di Kuching, malam tadi. Foto Japen

KUCHING, 6 Oktober: Sarawak mahu kemajuan digital negeri bukan sekadar memacu perkembangan teknologi dan industri, malah membuka lebih banyak peluang kepada rakyat, khususnya golongan muda untuk membina masa depan serta mengembangkan bakat di negeri sendiri.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kemajuan digital perlu memberi manfaat yang lebih meluas kepada masyarakat dan bukan hanya tertumpu kepada pemain industri atau sektor teknologi.

Menurutnya, Sarawak mahu golongan muda melihat masa depan di mana bakat mereka boleh berkembang di negeri ini, di samping diberi ruang untuk meneruskan idea dan menyumbang pada peringkat lebih luas.

Katanya, peluang berkenaan penting dalam memastikan pembangunan ekosistem digital Sarawak turut menghasilkan tenaga manusia yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri pada masa hadapan.

“Kita mahu mereka melihat masa depan di mana bakat mereka boleh berkembang di sini, di Sarawak, dengan kebebasan untuk mengejar idea dan menyumbang di pentas yang lebih luas,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di sebuah hotel di Kuching, malam tadi.

Julaihi berkata, pada masa sama, kemajuan digital perlu diterjemahkan kepada peluang yang boleh dirasai masyarakat, termasuk menerusi peningkatan capaian internet yang membolehkan pelajar mendapat akses kepada ilmu dan perniagaan kecil mencapai pelanggan baharu.

Menurutnya, sehingga akhir 2025, capaian internet telah mencapai 94.5 peratus penempatan di seluruh Sarawak, mencerminkan usaha berterusan untuk menghubungkan komuniti di seluruh negeri.

Beliau berkata, sambungan digital bukan sekadar soal menyediakan infrastruktur, sebaliknya nilai sebenar terletak pada perkara yang boleh dilakukan oleh rakyat selepas mendapat akses tersebut.

Katanya, inovasi juga perlu dilihat dari sudut keupayaannya memperbaiki kehidupan, mewujudkan peluang baharu dan memastikan manfaat transformasi digital dapat dikongsi dengan lebih meluas.

Julaihi turut menggesa golongan inovator muda supaya memanfaatkan kepakaran dan pengetahuan di sekeliling mereka, berani mengemukakan idea serta bersedia belajar daripada pengalaman yang berbeza bagi membantu Sarawak membina masa depan digital yang lebih inklusif.

Beliau berkata, matlamat akhirnya adalah membina Sarawak yang membolehkan perusahaan berkembang, anak muda membina kerjaya yang bermakna dan komuniti turut menikmati hasil kemajuan negeri.

Oleh Shahrul Qaizat

Olise bantu Perancis tewaskan Belgium

PARIS, Perancis, 6 Oktober: Michael Olise yang masuk sebagai pemain gantian mengilhamkan kemenangan 4-1 Perancis ke atas Belgium dalam saingan