Jendela 2 perluas capaian internet di pedalaman Sabah, Sarawak

Facebook
WhatsApp
MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil. Foto Bernama

MELAKA, 10 Oktober: Kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak akan menjadi antara tumpuan fasa kedua Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) 2 yang melibatkan 2,000 lokasi, dengan pelbagai penyelesaian teknologi digunakan bagi memperluas capaian internet mengikut kesesuaian kawasan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, secara keseluruhan, Jendela 2 melibatkan 3,000 lokasi dengan populasi antara 20 hingga 30 orang sehingga 200 hingga 300 orang bagi setiap lokasi, sekali gus memerlukan pendekatan berbeza untuk memastikan capaian internet dapat disediakan.

“Bagi fasa pertama, satu pertiga lokasi di Semenanjung, satu pertiga di Sabah dan satu pertiga di Sarawak, jadi kita berlaku adil.

“Tetapi dalam fasa kedua, banyak daripada lokasinya adalah di kawasan pedalaman Sarawak dan juga di Sabah. Ada beberapa lokasi di Semenanjung juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) 2026 bersama komuniti Paya Rumput@Tangga Batu anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) sebagai rakan strategik, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim, Ketua Pengarah J-KOM Mohd Hisyamuddin Ghazali dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan lokasi di bawah Jendela 2 akan melibatkan pembinaan menara telekomunikasi, manakala lokasi selebihnya akan menggunakan penyelesaian teknologi yang bersesuaian dengan keadaan setempat.

Beliau berkata, teknologi satelit Starlink antara pilihan yang boleh dimanfaatkan, khususnya di kawasan berpenduduk jarang yang berdepan cabaran bentuk muka bumi dan litupan tumbuh-tumbuhan.

Teknologi Starlink versi terbaharu yang lebih kecil, mudah dibawa dan menjimatkan penggunaan tenaga turut berpotensi membantu menyediakan capaian Internet di kawasan yang sukar mendapat liputan.

“Jadi kita akan manfaatkan teknologi seperti Starlink untuk bantu memastikan ada capaian internet, termasuk di kampung-kampung Orang Asli,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaburan RM5 bilion bagi memperkukuh ketersambungan internet di seluruh negara menerusi Jendela 2, termasuk memperluas liputan 4G ke semua kampung Orang Asli pada tahun depan.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, lebih 30 program PMK akan diadakan di seluruh negara bagi memperluas penyampaian maklumat mengenai inisiatif kerajaan, termasuk manfaat Belanjawan 2027 kepada rakyat.

Beliau berkata, Unit Pantau MADANI telah diminta menerapkan maklumat berkaitan Belanjawan 2027 dalam program berkenaan bagi memastikan rakyat mengetahui dan memahami manfaat yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Terdahulu, lebih 3,000 orang mengunjungi program itu bagi mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan, inisiatif dan manfaat yang ditawarkan oleh 35 kementerian, jabatan, agensi serta rakan strategik. Program itu berlangsung sejak 8.00 pagi.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI, pemeriksaan kesihatan percuma, pendaftaran MyDigital ID, semakan wang tidak dituntut serta perkhidmatan gunting rambut percuma. – Bernama