PETRA JAYA, 9 Oktober: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital serantau menerusi kerjasama strategik antara SoftBank Group Corp., Grab Holdings Limited dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Kerjasama itu dimeterai menerusi Perjanjian Rangka Kerja bagi meneroka pembangunan platform AI dan infrastruktur digital, sekali gus membuka peluang kepada Sarawak untuk memperluas penyertaan dalam ekonomi berasaskan teknologi bernilai tinggi.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, semalam dan disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp., Masayoshi Son; Pengerusi Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Dato Janin Girie.
Menerusi kerjasama itu, ketiga-tiga pihak akan menilai potensi pembangunan platform AI dan infrastruktur digital di Sarawak, selain merangka pelan hala tuju pelaksanaannya secara berfasa.
Antara bidang yang akan diteroka termasuk pengkomputeran AI, teknologi termaju, robotik, pembangunan tenaga kerja dan penglibatan komuniti bagi menyokong pertumbuhan industri teknologi bernilai tinggi.
SoftBank akan menyumbang kepakaran dalam pembangunan infrastruktur AI, pengkomputeran termaju, semikonduktor dan AI fizikal, manakala Grab akan memanfaatkan keupayaan aplikasi AI serta ekosistem digitalnya di Asia Tenggara.
Sementara itu, Petros akan memainkan peranan menerusi kepakarannya dalam pengurusan sumber tenaga Sarawak, khususnya melalui Pelan Hala Tuju Gas Sarawak dan pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH).
Gabungan kepakaran ketiga-tiga organisasi berkenaan dijangka dapat menyokong pembangunan ekosistem teknologi yang mengintegrasikan sumber tenaga, infrastruktur digital dan keupayaan AI di negeri ini.
Kerjasama strategik tersebut turut mencerminkan usaha Sarawak menarik pelaburan baharu dalam sektor teknologi termaju, selain menyediakan peluang pembangunan bakat dan kepakaran tempatan.
Inisiatif itu juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan Sarawak mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Pada peringkat nasional, kerjasama berkenaan turut melengkapi agenda pembangunan ekonomi digital dan AI negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Selain membuka peluang pelaburan, pembangunan platform AI dan infrastruktur digital itu berpotensi memperkukuh kesalinghubungan digital negara, termasuk menyokong pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Kerjasama tersebut juga dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri teknologi, pembangunan modal insan dan aktiviti ekonomi baharu yang mampu meningkatkan daya saing Sarawak di peringkat serantau.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki; Pengerusi Petros, Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo serta Ahli Lembaga Pengarah Petros, Datuk Sharbini Suhaili.





