
SIBU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM299.79 juta bantuan bulanan yang disalurkan kepada 57,073 penerima di seluruh negeri sepanjang tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Seri Fatimah Abdullah berkata bantuan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan golongan sasar terus terpelihara serta mendapat sokongan untuk meneruskan kehidupan.
“Bantuan ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan, malah sebagai sokongan moral kepada golongan memerlukan,” katanya ketika merasmikan Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina Bahagian Sibu 2026 di sini, hari ini.
Fatimah berkata sempena sambutan Tahun Baharu Cina, seramai 1,708 penerima bantuan kebajikan berbangsa Cina di bahagian Sibu, Kanowit dan Selangau akan menerima sumbangan khas.
Di Sibu sahaja, beliau berkata lebih RM2.58 juta disalurkan kepada 5,701 penerima bantuan bulanan pada Januari lepas.
Katanya penerima yang hadir pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina itu menerima bantuan tunai RM100 serta hamper perayaan bernilai RM80, manakala penerima lain akan menerima sumbangan tunai melalui pengkreditan ke akaun bank masing-masing.
Program Sejambak Kasih yang telah lebih 20 tahun dilaksanakan itu bertujuan membantu penerima membuat persediaan menyambut perayaan, selain memastikan golongan kurang berkemampuan turut merasai kemeriahan sambutan itu.
Sementara itu, Fatimah memaklumkan penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Sibu akan dipindahkan sementara ke RSK Kuching berikutan kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan warga emas di bawah jagaan institusi berkenaan terus menikmati persekitaran yang selamat dan selesa sepanjang tempoh kerja dilaksanakan. – Bernama