
PETRA JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala menegaskan keperluan untuk melaksanakan langkah pembaikan segera terhadap rangkaian jalan bekas pembalakan yang kini menjadi laluan utama penduduk di kawasan pedalaman Telang Usan dan Mulu.
Beliau berkata, ketiadaan penyelenggaraan berkala selain faktor cuaca ekstrem telah menyebabkan banyak laluan kritikal mengalami kerosakan teruk sehingga sukar dan ada yang langsung tidak dapat dilalui, sekali gus menjejaskan pergerakan harian serta urusan ekonomi dan sosial penduduk setempat.
Menurut Gerawat, isu berkenaan telah dibincangkan secara terperinci dalam satu pertemuan strategik bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang berlangsung di Pejabat Timbalan Premier, di sini semalam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) itu menyifatkan perbincangan tersebut amat signifikan kerana menyentuh keperluan asas rakyat, khususnya dari aspek akses perhubungan darat yang selamat, boleh diharap dan berdaya tahan bagi komuniti pedalaman di kawasan Ulu Baram.
Dalam pertemuan itu, Gerawat menggariskan beberapa keutamaan bagi menangani isu infrastruktur jalan di kawasan Telang Usan dan Mulu, termasuk keperluan pembaikan segera di laluan-laluan kritikal yang terputus serta tidak lagi sesuai digunakan oleh kenderaan penduduk.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan sistem penyelenggaraan berkala yang lebih tersusun bagi memastikan jalan sedia ada sentiasa berada dalam keadaan baik, di samping perancangan jangka panjang untuk menaik taraf jalan bekas pembalakan kepada jalan awam yang lebih kekal dan menepati piawaian teknikal.
Hasil daripada perbincangan berkenaan, Uggah dilaporkan telah meluluskan beberapa cadangan berkaitan kerja naik taraf serta baik pulih jalan dan jambatan di kawasan terjejas bagi memastikan akses penduduk tidak terus terputus.
Gerawat menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan Sarawak dalam mendengar keluhan rakyat di Ulu Baram serta mengambil tindakan pantas terhadap isu yang dibangkitkan.
Beliau turut berharap agar kerja-kerja fizikal di lapangan dapat dimulakan secepat mungkin dan dilaksanakan di bawah pemantauan rapi JKR Sarawak bagi memastikan kualiti pembinaan serta pematuhan garis masa projek demi kesejahteraan penduduk pedalaman.
Pertemuan itu turut dihadiri ADUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Felicia Tan serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris.
Oleh Adi Safarman