Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak sasar vaksin 45,567 anjing menerusi program seluruh negeri
  • TEMPATAN

Sarawak sasar vaksin 45,567 anjing menerusi program seluruh negeri

Utusan Sarawak 6 hours ago
SARAWAK mempergiat program vaksinasi anjing dengan sasaran 45,567 ekor di seluruh negeri.

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak mempergiat usaha membendung penularan rabies menerusi program vaksinasi anjing secara komprehensif yang dilaksanakan berperingkat di seluruh negeri dengan kerjasama pelbagai agensi. 

  Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata kerajaan negeri menyasarkan memvaksin 45,567 anjing peliharaan sebagai sebahagian daripada strategi kawalan rabies dan pengurusan populasi anjing secara komprehensif yang turut melibatkan pelesenan, peneuteran bersubsidi dan kempen kesedaran awam. 

“Program ini termasuk kempen vaksinasi anjing secara besar-besaran, vaksinasi di kawasan sasaran dan dari rumah ke rumah serta kampung ke kampung oleh pejabat veterinar bahagian, Immune Belt Enforcement Team (IBET) dan klinik veterinar swasta. 

“Inisiatif ini dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dengan kerjasama antaranya daripada Kementerian Kesihatan, majlis tempatan di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Unit Komunikasi Awam Sarawak,” katanya semasa dihubungi hari ini.  

Rundi menegaskan bahawa usaha itu dilaksanakan selaras dengan arahan vaksinasi anti-rabies yang dibuat di bawah Seksyen 40(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 yang mewajibkan suntikan vaksin anti-rabies terhadap semua anjing di Sarawak. 

Beliau berkata arahan itu kekal berkuat kuasa sehingga dibatalkan secara rasmi dan menambah pasukan penguatkuasaan DVS negeri serta majlis tempatan akan memastikan pematuhan terhadap program vaksinasi dan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab seperti dikehendaki di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Pelesenan dan Pengawalan Anjing) 2018.

Rabies mula dikesan di Sarawak pada pertengahan 2017 dengan beberapa bahagian diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan yang mendorong kerajaan negeri melaksanakan langkah kawalan pergerakan, program vaksinasi besar-besaran dan penubuhan IBET di sepanjang sempadan negeri serta antarabangsa.

Setakat Disember 2025, Sarawak dilaporkan merekodkan jumlah kumulatif 89 kes rabies manusia sejak wabak itu diisytiharkan sembilan tahun lepas. 

 Rundi menasihatkan pemilik anjing agar memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin sewajarnya dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa kerana tanggungjawab kolektif penting untuk menjaga kesihatan awam dan mencegah kemunculan semula rabies di Sarawak.- Bernama

Continue Reading

Previous: Wilfred Yap saksi penyerahan surat setuju terima projek RTP 2024 di Kampung Stutong
Next: Kebebasan kehakiman tonggak keadilan Syariah Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.