Lelaki cedera kaki kanan selepas terjatuh dalam longkang

Facebook
WhatsApp
TERJATUH...Pasukan bomba membantu menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh ke dalam longkang di Piasau Lorong 5, Miri, tengah hari tadi.

MIRI, 18 Oktober: Seorang lelaki mengalami kecederaan pada kaki kanan selepas terjatuh ke dalam longkang di Piasau Lorong 5, di sini, tengah hari tadi.

Menurut maklumat kejadian, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 12.41 tengah hari.

Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati mangsa berada di dalam longkang dengan kecederaan pada kaki kanan.

Pasukan bomba kemudian membuka pagar bagi memudahkan operasi menyelamat sebelum berjaya mengeluarkan mangsa dari longkang berkenaan.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada petugas kesihatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi itu melibatkan sebuah jentera bomba dan sebuah unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamatan (EMRS) sebelum ditamatkan selepas keadaan di lokasi dipastikan terkawal.

Oleh Liong Chai Ling