Warga emas hilang ditemukan meninggal dunia di Poyut

Facebook
WhatsApp
OPERASI mencari dan menyelamat berakhir dengan penemuan mayat warga emas lelaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu pada 12.40 tengah hari tadi.

MARUDI, 18 Oktober: Seorang lelaki warga emas, Selading Suai, 77, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 12.40 tengah hari tadi.

Mayat mangsa ditemukan kira-kira 300 meter dari pusat kawalan operasi di kawasan Poyut/Lubok Nibong.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri, pasukan SAR menjalankan operasi pencarian dalam radius satu kilometer sebelum menemukan mangsa.

Kehilangan Selading disedari cucunya pada 11.00 pagi Jumaat lalu.

Mangsa dipercayai memasuki laluan kecil menuju ke kebun sawit berhampiran Rumah Malikat di kawasan Poyut atau Lubok Nibong sebelum dilaporkan hilang.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 1.30 petang.

Oleh Jiku Juguong