

SARIKEI: Seramai 55 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sarikei dan Meradong telah menyertai ujian kecergasan fizikal (UKF) 2026 yang dijalankan di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sarikei, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata UKF yang dijalankan dari 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari tersebut dilaksanakan mengikut perancangan, arahan dan silibus yang telah ditetapkan.
“UKF bertujuan menilai tahap kecergasan fizikal anggota selain meningkatkan stamina, disiplin dan kesiapsiagaan mereka dalam melaksanakan tugas pertahanan awam serta pengurusan bencana.
“Komponen ujian yang dilaksanakan termasuk larian 2.4 kilometer (km), bangkit tubi selama dua minit, tekan tubi selama dua minit, lompat jauh berdiri, serta pengukuran tinggi dan berat badan bagi penilaian indeks jisim badan (BMI),” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, selain aspek kecergasan, UKF turut berperanan sebagai sesi pemilihan bagi program MyAspa P, C, O dan MyAspa sesi 2026/2027.
“Pelaksanaan UKF ini penting bagi memastikan anggota APM sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental, khususnya ketika berhadapan situasi kecemasan dan bencana di lapangan. katanya.
“Tiada sebarang kes kecemasan dilaporkan sepanjang latihan dijalankan dan semua anggota APM berada dalam keadaan baik,” katanya.
Oleh Earl Anek