Tiga ekor buaya ditangkap dalam operasi di Sungai Tinjar, Baram

Facebook
WhatsApp

MIRI, 2 Oktober: Tiga ekor buaya berjaya ditangkap dalam operasi di Sungai Tinjar, Baram, hari ini susulan aduan penduduk setempat mengenai kehadiran reptilia berbahaya di kawasan berkenaan.

Menurut hantaran Team Eric Cat menerusi Facebook, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

“Tiga ekor buaya yang ditangkap masing-masing berukuran 3.45 meter (11 kaki 4 inci), 3.66 meter (12 kaki) dan 4.27 meter (14 kaki),” menurut hantaran tersebut.

Operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan dan maklumat daripada penduduk setempat bagi menangani ancaman kehadiran buaya serta meningkatkan tahap keselamatan masyarakat di kawasan berkenaan.

Team Eric Cat turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang tampil membuat aduan dan menyalurkan maklumat sehingga membantu menjayakan operasi berkenaan.

Oleh Liong Chai Ling