Pemuda PBB Kabong perkukuh jentera akar umbi hadapi PRN13

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Bersama Pemuda PBB Kabong yang dihadiri oleh Dato Mohd Chee Kadir di Pusat Khidmat DUN Kabong. Foto: PBB Kabong

KABONG, 2 November: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong menyatakan kesiapsiagaan untuk menggerakkan seluruh jentera di peringkat akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13).

Komitmen itu dizahirkan menerusi Program Bersama Pemuda PBB Kabong yang dihadiri Ketua Cawangan PBB Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, di Pusat Khidmat DUN Kabong, semalam.

Program berkenaan menjadi platform memperkukuh hubungan antara kepimpinan parti dengan jentera Pemuda PBB, selain membincangkan persiapan, strategi dan hala tuju pergerakan menjelang PRN13.

Dalam pertemuan itu, kesiapsiagaan setiap ranting Pemuda PBB Kabong turut diberi perhatian bagi memastikan penyelarasan gerak kerja dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, mantap dan berkesan.

Selain pendekatan kempen secara bersemuka, jentera pemuda turut merancang pendekatan lebih segar, kreatif dan bersesuaian dengan perkembangan semasa, termasuk memanfaatkan platform digital serta media sosial untuk mendekati pengundi.

Pada masa sama, aktiviti di peringkat akar umbi akan terus diperkasakan dengan memberi penekanan kepada penglibatan golongan belia, pengukuhan hubungan bersama masyarakat serta pelaksanaan program yang mendekatkan parti dengan rakyat.

Kesepaduan antara kepimpinan parti, jentera dan golongan pemuda dilihat sebagai kekuatan penting dalam memastikan organisasi terus mantap serta bersedia menghadapi cabaran PRN13.

Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda PBB Kabong, Abdul Rahim Peli.

Program itu mencerminkan komitmen Pemuda PBB Kabong untuk terus memperkukuh organisasi, menyusun strategi dan memastikan seluruh jentera berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik menjelang PRN Sarawak ke-13.

Oleh Adi Safarman