Loji air baharu Julau beroperasi dengan kapasiti 3.4 juta liter sehari

Facebook
WhatsApp
DATO Rolland Duat Jubin bersama tetamu kehormat dan pegawai berkaitan melakukan simbolik perasmian Loji Rawatan Air Julau, sempena majlis perasmian loji berkenaan. Foto laman rasmi Julaihi Narawi.

JULAU, 2 November: Loji Rawatan Air Baharu Julau yang dibangunkan dengan kos RM25.7 juta menerusi pembiayaan kerajaan Sarawak kini beroperasi bagi memperkukuh bekalan air bersih dan terawat di daerah ini serta kawasan sekitarnya.

Loji berkapasiti 3.4 juta liter sehari (MLD) itu dirasmikan hari ini selepas mula beroperasi pada 14 Ogos lalu.

Pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Air Sarawak yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri.

LOJI Rawatan Air Julau yang baharu dilengkapi kemudahan tangki dan sistem rawatan air bagi meningkatkan kapasiti bekalan air di kawasan berkenaan. Foto laman rasmi Julaihi Narawi.

Dengan beroperasinya loji baharu itu, kapasiti bekalan air di daerah Julau meningkat kepada lima MLD berbanding 1.6 MLD sebelum ini menerusi loji sedia ada.

Bagi meningkatkan lagi keupayaan bekalan air di daerah Julau dan Bahagian Sarikei, Kerajaan Sarawak turut meluluskan pembinaan sebuah lagi loji rawatan air berkapasiti 30 MLD menerusi Pakej 2.

Projek Pakej 2 itu kini berada pada peringkat reka bentuk dan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan untuk memperkukuh sistem bekalan air di kawasan berkenaan.

Pada masa ini, Loji Rawatan Air Bayong yang berkapasiti 100 MLD merupakan loji utama yang membekalkan air terawat kepada kawasan di Bahagian Sarikei.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin; Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Datu Jafri Lias; Haji Tamida Daadi; Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie; serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, Malseni Jamal.

Turut hadir ialah Jurutera Bahagian JBALB Sarikei, Chieng Ghin Wei, Pegawai Daerah Julau, Minggu Jampong, Pegawai Daerah Pakan, William Manngoi serta ketua masyarakat dan ketua kaum sekitar daerah Julau.