Sembilan maut dalam nahas pesawat berhampiran kediaman Trump di Florida

Facebook
WhatsApp
Laporan awal menyatakan pesawat itu membawa sembilan individu sebelum terhempas dan terbakar berhampiran kawasan perumahan. Foto AFP

WASHINGTON, Amerika Syarikat, 3 November: Sebuah pesawat Learjet terhempas di kawasan perumahan di selatan Florida, beberapa batu dari kediaman percutian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengorbankan kesemua sembilan individu yang berada di dalamnya, menurut pihak berkuasa.

Beberapa klip video yang belum disahkan dan dimuat naik ke media sosial menunjukkan pesawat berkenaan menjunam hampir secara menegak pada kelajuan tinggi sebelum menghentam tanah, mencetuskan bola api besar dan meninggalkan kawah yang masih terbakar berhampiran jalan raya yang sibuk.

“Nahas pesawat di Palm Beach County, Florida, hari ini merupakan tragedi yang amat dahsyat,” kata Setiausaha Pengangkutan Sean Duffy dalam satu kenyataan, sambil mengesahkan kesemua sembilan individu di dalam pesawat itu maut.

JALAN ditutup selepas sebuah pesawat jet terhempas di Greenacres, Florida, pada 1 November 2026. Foto AFP

Duffy berkata pesawat Learjet 60 itu berlepas dari Austin, Texas dan menuju ke Bahamas.

Nahas itu berlaku berhampiran Cresthaven, sebuah kawasan perumahan di Palm Beach County yang terletak kurang daripada tujuh batu (11 kilometer) dari kediaman percutian Trump, Mar-a-Lago.

“Jelas sekali, ini merupakan nahas pesawat yang amat dahsyat,” kata Gabenor Florida, Ron DeSantis kepada pemberita berhampiran lokasi kejadian.

“Ia kelihatan seperti peluru berpandu yang menjunam,” katanya, sambil menambah bahawa tiada laporan mengenai individu di darat yang cedera.

Trump berada di Mar-a-Lago pada Ahad, namun berlepas dari lapangan terbang berhampiran yang baru dinamakan semula sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Donald J. Trump, sejurus selepas menaiki pesawat Air Force One pada 11.55 pagi (16.55 GMT), kira-kira sejam sebelum nahas pesawat Learjet itu berlaku.

Pesawat itu terhempas berhampiran pintu masuk sebuah taman perumahan rumah bergerak, kata Pesuruhjaya Palm Beach County, Joel Flores, sambil memaklumkan kira-kira 600 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan.

GABENOR Florida, Ron DeSantis, bercakap kepada pihak media selepas kejadian nahas pesawat di Greenacres, Florida, pada 1 November 2026. Laporan awal menyatakan pesawat itu membawa sembilan individu sebelum terhempas dan terbakar berhampiran kawasan perumahan.
Foto AFP

“Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan menyiasat” nahas itu, menurut FAA dalam satu kenyataan.

Ribut dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan. Trump membawa payung ketika menaiki pesawat Air Force One.

Dalam rakaman audio yang disiarkan di laman web trafik udara liveatc.net, seseorang di dalam kokpit kedengaran melaporkan “turbulens sederhana” dan berkata kru pesawat sedang “mengendalikan pembentukan ais”.

Individu itu memaklumkan bahawa pesawat berkenaan sedang berdepan keadaan hujan dan perlu meningkatkan ketinggian sebelum mengisytiharkan kecemasan dengan berkata: “Mayday, mayday, kami sedang menjunam pada kadar 10,000 kaki seminit.”

Beberapa saat kemudian, individu itu berkata mereka “mengisytiharkan kecemasan” ketika pesawat menurun pada kadar 20,000 kaki seminit.

“Kami akan terhempas ke tanah,” katanya, tidak lama sebelum komunikasi terputus. – AFP

Sejarah penerbitan Sarawak Gazette

PERKEMBANGAN dalam bidang persuratkhabaran telah lama wujud di dunia. Zaman Rom misalnya telah ada bentuk-bentuk awal persuratkhabaran dengan munculnya ActaDiurna