

BINTULU: Sebuah kenderaan terbakar dalam satu insiden di Jalan Tanjung Kidurong awal pagi tadi, namun api berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tanpa melibatkan sebarang kecederaan.
Menurut kenyataan JBPM, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.03 pagi sebelum jentera dikerahkan seminit kemudian dan tiba di lokasi kejadian pada 7.10 pagi, kira-kira enam kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta Toyota Corolla berwarna putih.
“Selepas membuat penilaian awal, anggota diarahkan menjalankan operasi pemadaman menggunakan air daripada salur bantu mula bagi mengawal kebakaran,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada 7.35 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya enam minit kemudian setelah keadaan disahkan selamat.
Oleh Carolyne Utih