BINTANGOR, 26 Oktober: Tiga rumah transit dan sebuah stor simpanan musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Rumah Empani, Lubuk Putan pada pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, rumah panjang berhampiran tidak terjejas dalam kejadian tersebut.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada 8.56 pagi sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian, iaitu pada 9.02 pagi.
“Ketiga-tiga rumah yang terbakar merupakan rumah berasingan dan digunakan sebagai tempat transit, bukannya kediaman tetap.

“Kedudukan rumah yang terlalu rapat antara satu sama lain menyebabkan api merebak dengan cepat ke bangunan bersebelahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, rumah pertama mempunyai lima penghuni, manakala rumah kedua dan ketiga tidak berpenghuni ketika kejadian.
“Walaupun ketiga-tiga rumah dan sebuah stor simpanan musnah sepenuhnya, tiada sebarang mangsa dilaporkan,” katanya.
Tambahnya, operasi pemadaman dilaksanakan oleh 15 anggota daripada BBP Bintangor dan BBP Sarikei.
“Pasukan bomba menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki, dua nozel dan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadamkan kebakaran.

“Bekalan air diperoleh daripada pili bomba berhampiran menggunakan pam jentera bagi memastikan operasi pemadaman dapat dilaksanakan sehingga api dipadamkan sepenuhnya.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada 10.25 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.16 tengah hari,” katanya lagi.
Turut berada di lokasi kejadian ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Oleh Earl Anek





