

SIBU: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, sekitar 11.55 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, kejadian itu menyebabkan seorang penumpang wanita berusia 64 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandunya mengalami kecederaan parah.
“Pemandu dan penumpang kenderaan yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan ke semua mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
“Susulan daripada laporan polis tersebut, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 11.38 pagi.
“Ketika sampai di tempat kejadian, dua mangsa ditemui masih tersepit di tempat pemandu dan penumpang.
“Pihak bomba telah membantu mengeluarkan kedua mangsa yang tersepit bagaimanapun wanita berkenaan telah meninggal dunia di tempat kejadian. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.41 tengah hari,” katanya.
Oleh Akun Giman