

SELANGAU: Dua wanita orang kurang upaya (OKU) diselamatkan oleh anggota bomba selepas kediaman mereka Rumah (Rh) Janting dinaiki air, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, dua mangsa itu dipindahkan oleh pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau menggunakan bot menyelamat pada 5.20 petang.
“Kedua-dua mangsa telah tiba dengan selamat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip pada 5.43 petang,” katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi.
Terdahulu, pasukan penyelamat BBP Tatau diketuai oleh PBK II Mumin Anda dengan kekuatan lima anggota menjalankan pemantauan di sekitar Sungai Arip iaitu Rh Jimbai, Rh Janting dan Rh David.
Banjir dilaporkan berlaku di kawasan tersebut menyebabkan jalan terputus setinggi tiga kaki dan memasuki beberapa kediaman penduduk sekitar.
Oleh Akun Giman