SJA hargai insentif khas RM700 kepada pengamal media swasta

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI SJA, Florence Nervyn.

SIBU, 22 Oktober: Persatuan Wartawan Sibu (SJA) menghargai insentif khas sekali bayar RM700 kepada pengamal media swasta yang diumumkan kerajaan Sarawak menerusi Belanjawan Sarawak 2027 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan warga media.

Pengerusi SJA, Florence Nervyn berkata, pengumuman itu merupakan satu pengiktirafan bermakna terhadap peranan dan sumbangan pengamal media yang komited dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Perhatian kerajaan Sarawak terhadap kebajikan pengamal media amat dihargai, khususnya ketika industri media berdepan pelbagai cabaran,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pengamal media sentiasa komited menjalankan tugas di lapangan bagi memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan sahih.

PERSATUAN Wartawan Sibu (SJA).

“Walaupun insentif ini diberikan secara sekali bayar, ia tetap membawa makna besar kepada komuniti media kerana mencerminkan bahawa peranan dan sumbangan mereka terus mendapat perhatian kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Florence berkata, inisiatif itu juga diharap dapat menyuntik semangat kepada pengamal media untuk terus melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan integriti.

Katanya, usaha mengekalkan kredibiliti serta kepercayaan masyarakat terhadap institusi media juga penting dalam memastikan profesion kewartawanan terus dihormati.

“Pada masa sama, SJA berharap perhatian terhadap kebajikan pengamal media dapat diteruskan menerusi pelbagai inisiatif yang menyokong kesejahteraan dan pembangunan profesional warga media di Sarawak,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, SJA akan terus memperjuangkan kebajikan ahli serta memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak demi kemajuan profesion kewartawanan.

Oleh Akun Giman