KUALA LUMPUR, 22 Oktober: Pemain skuasy wanita negara S. Sivasangari dan Rachel Arnold bakal berentap pada suku akhir kejohanan Terbuka Silicon Valley di Redwood City, Amerika Syarikat, selepas masing-masing memenangi perlawanan pusingan kedua.
Sivasangari, pemain nombor empat dunia terpaksa mengharungi cabaran sengit daripada rakan senegara Aifa Azman sebelum mencatat kemenangan 6-11, 11-2, 9-11, 11-3, 11-7 di SquashZone.
Sementara itu, Rachel mencipta kejutan apabila menewaskan pemain nombor 10 dunia dari Amerika Syarikat, Amanda Sobhy, dengan kemenangan 11-9, 8-11, 13-11, 11-13, 11-8 dalam satu lagi perlawanan lima set.
Kemenangan itu amat bermakna buat Rachel kerana ia merupakan kemenangan pertamanya ke atas Amanda, yang sebelum ini menewaskan pemain Malaysia itu dalam ketiga-tiga pertemuan mereka.
Perlawanan suku akhir itu menyaksikan Sivasangari dan Rachel bakal bersaing untuk merebut tempat ke separuh akhir kejohanan berkenaan. – Bernama




