PETRA JAYA, 21 Oktober: Seramai 80 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu berpeluang menyaksikan sendiri perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, lawatan itu merupakan inisiatif bermakna bagi memberikan pendedahan kepada barisan kepimpinan masyarakat mengenai proses persidangan serta peranan institusi perundangan negeri.
Menurutnya, pengalaman tersebut membolehkan peserta memahami dengan lebih dekat proses perbahasan dan pembuatan keputusan yang berkaitan dengan pentadbiran serta pembangunan Sarawak.
“Ini peluang yang amat baik untuk KMKK dan ahli majlis daerah melihat sendiri bagaimana perbahasan dan keputusan dibuat di dalam dewan yang mulia ini,” katanya.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian ketika ditemui pada hari kelapan Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Beliau berkata, rombongan itu turut berpeluang beramah mesra dan merakam gambar kenangan bersama wakil rakyat daripada parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, kunjungan berkenaan turut memperlihatkan kepentingan hubungan erat antara kepimpinan negeri, wakil rakyat dan institusi KMKK yang menjadi penghubung utama antara kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
Rombongan itu terdiri daripada 50 KMKK yang diketuai Pemanca Dr Ali Mudin serta 30 Exco Cawangan PBB Bekenu yang diketuai Kaunselor Abdul Halik Jafar.
Sementara itu, Penghulu Pui Kuan Phen yang mewakili kaum Cina berkata, lawatan tersebut memberi peluang kepada rombongan untuk memahami perjalanan persidangan DUN serta perkembangan dan perancangan pembangunan kerajaan Sarawak, khususnya di kawasan Subis.
“Peluang ini membolehkan kami memahami dengan lebih dekat perjalanan persidangan DUN serta perkembangan dan perancangan pembangunan kerajaan Sarawak, khususnya yang melibatkan kawasan Subis.
“Kami bersyukur atas pelbagai usaha pembangunan yang dilaksanakan di kawasan ini dan menghargai komitmen wakil rakyat dalam membawa keperluan masyarakat setempat.
“Sempena hari terakhir persidangan DUN kali ini, kami berharap segala usaha pembangunan yang dirancang dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
“Kami juga merakamkan penghargaan atas segala usaha dan sumbangan Datuk Rosey Yunus serta kerajaan negeri selama ini,” katanya.
Oleh Adum Liu




