BAU, 22 Oktober: Polis trafik Bau bertindak tegas terhadap kesalahan parkir haram dan halangan lalu lintas dengan mengeluarkan 13 saman dalam Ops Pematuhan yang dijalankan di sekitar bandar Bau dan Jalan Bau–Kuching semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, operasi dari 8.30 pagi hingga 10.30 pagi itu bertujuan meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau berkata sebanyak 32 kenderaan dan 37 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Sebanyak 13 saman dikeluarkan, terdiri daripada enam saman PDRM (K)257 dan tujuh saman PDRM (K)170A,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara kesalahan yang dikesan ialah pengubahsuaian ekzos motosikal, kegagalan mematuhi isyarat lalu lintas serta meletakkan kenderaan di kawasan yang bukan diperuntukkan sebagai tempat letak kereta.
Mohd Haide berkata operasi berjalan lancar dalam keadaan cuaca baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Beliau menambah bahawa polis akan terus mempergiatkan penguatkuasaan trafik bagi meningkatkan pematuhan terhadap peraturan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas, mengutamakan keselamatan serta menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan trafik atau aktiviti mencurigakan kepada pihak polis.
“Patuhilah undang-undang dan jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab,” katanya.
Oleh Connie Chieng



