KPDN Limbang rekod 6,285 pemeriksaan sepanjang Januari- Oktober 

Facebook
WhatsApp
MOHD Khairi Jamaludin pada Program Pasar Patuh KPDN Cawangan Limbang 2026 di Bangunan Tamu Limbang.

LIMBANG, 21 Oktober: Sebanyak 6,285 pemeriksaan  telah dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Limbang di daerah ini dari tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Timbalan Pengarah KPDN Negeri Sarawak yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Sarawak Mohd Khairi  Jamaludin berkata pemeriksaan itu meliputi pelbagai aspek termasuk pematuhan tanda harga, alat timbang dan sukat, barangan tiruan serta bekalan barangan di pasaran.

Selain itu, katanya  sebanyak 80 kes turut direkodkan oleh KPDN Cawangan Limbang, dengan jumlah tertinggi melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sehingga hari ini kita melaksanakan sebanyak 6,285 pemeriksaan di  Limbang meliputi pelbagai pemeriksaan dari segi tanda harga, alat timbang, pemeriksaan barang tiruan, bekalan dan juga lain-lain di bawah akta yang kita kuatkuasakan.

“Selain itu, kita juga merekodkan sebanyak 80 kes dan kes tertinggi adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2019 melibatkan penandaan harga, mengenakan harga melebihi harga maksimum dan kesalahan lain,” katanya ketika ditemui media pada Program Pasar Patuh KPDN Cawangan Limbang 2026 di Bangunan Tamu Limbang hari ini.

Seterusnya KPDN Limbang turut merekodkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM826,000 dalam tempoh sama.

Daripada jumlah itu, katanya rampasan membabitkan barang kawalan mencecah jumlah tertinggi sebanyak  RM163,000.

Jelasnya lagi pemeriksaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPDN untuk memastikan peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan, selain melindungi kepentingan pengguna daripada amalan perdagangan yang tidak beretika.

Tegasnya KPDN Cawangan Limbang melalukan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari ke premis-premis perniagaan termasuk premis tetap, premis terbuka, pemborong dan peruncit sama ada di kawasan bandar dan luar bandar di daerah ini. 

Oleh Adeng Edrus