
MIRI: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Miri menjelang penutup 2025, selaras dengan amanah yang diberikan kepadanya sejak tiga tahun lalu.
Menurut beliau, sepanjang tahun ini, pelbagai isu rakyat telah dibawa dan diperjuangkan di Parlimen serta ke peringkat kementerian Persekutuan, merangkumi aspek keselamatan, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
“Antara isu utama yang saya perjuangkan termasuk bantuan dan mitigasi banjir, keselamatan sekolah, usaha menjadikan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib, cadangan penubuhan Majlis Pendidikan Kebangsaan serta tuntutan peluang yang lebih adil untuk pelajar STPM Miri dalam kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam,” katanya.
Dalam sektor kesihatan pula, Chiew berkata beliau terus menggesa kerajaan agar menyediakan skim insurans perubatan yang mampu milik, memastikan bekalan cecair dialisis yang konsisten untuk pesakit buah pinggang serta menambah baik fasiliti hospital dan klinik di Miri.
Menyentuh isu ekonomi, beliau memaklumkan keperluan menaikkan ambang e-invois, usaha memajukan industri pelancongan di Miri serta memanfaatkan kedudukan strategik bandar raya itu yang bersempadan dengan Brunei turut dibangkitkan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Di peringkat akar umbi, beliau berkata Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri telah menganjurkan pelbagai program kebajikan dan pembangunan modal insan, antaranya karnival TVET dan pameran pendidikan, program Bantuan Lesen Memandu MyLesen B2, sesi libat urus dan townhall Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), ceramah kesedaran anti-scam, taklimat e-invois, program Rumah Mesra Rakyat, bengkel intensif SPM serta kursus kemahiran jangka pendek.
“Matlamat utama semua inisiatif ini adalah untuk memperkasa rakyat Miri dari segi ilmu, kemahiran dan keyakinan supaya kita mampu bergerak bersama ke hadapan,” katanya.
Chiew turut memaklumkan bahawa beliau telah memperjuangkan dan mengikuti rapat lapan projek Persekutuan yang kritikal kepada masa depan Miri, termasuk Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Miri, Projek Naik Taraf Kompleks ICQS Sungai Tujuh, pembinaan SMK Tudan dan SK Syed Othman, Projek Tebatan Banjir Miri, Projek Menaik Taraf Bulatan Pujut 3 (Bulatan GK), pembangunan Makmal Kardiologi Invasif Hospital Miri, projek mitigasi hakisan pantai Lutong serta projek Jalan Kuala Baram Bypass.
Jelasnya, walaupun berdepan cabaran dari segi prosedur, perolehan dan pelaksanaan, beliau akan terus memastikan semua kementerian dan jabatan berkaitan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.
“Saya akan terus memanfaatkan setiap ruang di Parlimen, kementerian dan agensi Persekutuan bagi memastikan suara rakyat Miri sentiasa didengari dan diterjemahkan kepada tindakan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Miri tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang atas sokongan, teguran serta cadangan yang diberikan sepanjang tahun ini, sambil menyuarakan harapan agar Miri terus berkembang sebagai bandar yang ceria, makmur dan inklusif untuk semua.
Oleh Liong Chai Ling