IPD Mukah perkukuh integriti, kesiapsiagaan hadapi PRN Sarawak ke-13

Facebook
WhatsApp
DISIPLIN… Warga IPD Mukah diingatkan supaya sentiasa menjaga disiplin, kekemasan diri dan menjauhi penyalahgunaan dadah demi memelihara imej pasukan polis.

MUKAH, 20 Oktober: Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah diingatkan supaya terus memperkukuh integriti, memelihara keharmonian organisasi serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, semua pegawai dan anggota perlu sentiasa bersedia untuk digerakkan bagi melaksanakan sebarang tugasan yang diarahkan, khususnya berkaitan persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Dalam memastikan kelancaran operasi, penggunaan kekuatan anggota hendaklah dilaksanakan secara maksimum, seimbang dan terancang.

“Keperluan operasi pilihan raya perlu diberikan perhatian sewajarnya tanpa mengabaikan tugas hakiki yang perlu dilaksanakan oleh IPD Mukah,” tegasnya.

SEKITAR Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Mukah bagi bulan Oktober 2026

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Mukah bagi Oktober di pekarangan IPD Mukah, hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Rizal berkata, keharmonian sesebuah organisasi bukan sahaja bergantung kepada sistem pentadbiran, malah turut dipengaruhi oleh sikap, tingkah laku dan cara warga organisasi berinteraksi antara satu sama lain.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh warga IPD Mukah supaya sentiasa mengamalkan sikap saling menghormati serta mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh mencetuskan perselisihan faham sesama rakan sekerja.

“Semua warga IPD diingatkan untuk saling menghormati serta mengelakkan sebarang kelakuan yang menimbulkan perselisihan faham sesama rakan kerja.

“Sebarang ketidakpuasan hati atau perbezaan pandangan hendaklah disalurkan melalui saluran yang betul serta profesional,” katanya.

Beliau turut memberikan peringatan tegas berhubung penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga pasukan.

PENGHARGAAN… Penyampaian Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah Mukah bagi Oktober kepada anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang.

“Semua warga pasukan diingatkan agar tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah sama ada sebagai pengguna, pemilik, pengedar mahupun dalam apa-apa bentuk penglibatan lain.

“Jangan gadaikan kerjaya, maruah diri dan masa depan keluarga akibat kesilapan yang dapat dielakkan,” tegasnya.

Selain itu, beliau mengarahkan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) melaksanakan pemeriksaan rapi bagi memastikan semua pegawai dan anggota mematuhi peraturan berkaitan penampilan serta kekemasan diri.

Katanya, semua ketua bahagian, ketua balai, ketua cawangan dan penyelia bertanggungjawab memastikan pegawai di bawah seliaan masing-masing sentiasa menjaga kekemasan diri serta imej pasukan.

Perhimpunan itu dikendalikan oleh Inspektor Erwin Geoffry Ussan selaku Pegawai Baris dan dihadiri 12 pegawai kanan polis, 54 pegawai rendah polis serta 18 pegawai awam.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah Mukah bagi Oktober kepada anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Oleh Adibfahmy