
DARO: Seramai 1,115 peserta dari pelbagai kawasan di seluruh Sarawak menyertai Larian Jeʼulo 3.0 (Larian Sehaluan) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro 2025 yang berlangsung meriah di Jambatan Muara Lassa hari ini.
Acara edisi ketiga itu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi larian ria pertama yang dianjurkan di jambatan terpanjang merentasi muara sungai berkenaan, sekali gus menarik penyertaan peserta daripada pelbagai peringkat umur.
Larian Je’ulo 3.0 menawarkan tiga kategori utama iaitu larian sejauh enam kilometer (km) bagi kategori remaja, belia dan veteran, selain acara jalan cepat sejauh 4.3 km yang turut mendapat sambutan menggalakkan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, yang menyifatkan penganjuran program tersebut sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam memupuk gaya hidup sihat serta menggalakkan penglibatan aktif komuniti setempat.
“Penganjuran ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform terbaik untuk merapatkan hubungan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau menambah, pemilihan Jambatan Muara Lassa sebagai lokasi acara memberikan pengalaman unik kepada para peserta, khususnya dengan pemandangan indah muara sungai dalam suasana pagi yang tenang dan nyaman.
“Tahniah dan terima kasih kepada peserta yang hadir dari pelbagai daerah termasuk Dalat, Mukah, Sibu, Sarikei, Kapit serta kawasan sekitar, yang sanggup meluangkan masa bagi memeriahkan acara ini,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting