KABONG: Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun bertujuan memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963.
Berucap dalam Program Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Kabong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata dengan pembentukan negara yang memiliki pelbagai etnik dan budaya masa kini, semangat cintakan negara perlu disemat di dalam jiwa agar Malaysia bertambah aman dan harmoni.
“Tanpa penghayatan dan pemahaman sejarah kemerdekaan negara yang telah membawa kepada pembentukan Malaysia, sambutan Hari Malaysia hanyalah sekadar ‘hari cuti umum’.
“Tarikh 16 September itu sangat relevan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kemerdekaan yang kita kecapi hari ini tidak mungkin berlaku sekiranya negara kita masih lagi di bawah cengkaman kolonial British.
“Justeru, sambutan Hari Malaysia juga wajar kita gunakan untuk memperingati jasa dan sumbangan para pemimpin dan pahlawan negara terdahulu yang telah berjuang mengangkat martabat dan maruah bangsa dan negara daripada belenggu penjajahan asing.
“Agenda kemerdekaan itu sendiri bersifat berkesinambungan, khususnya bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia, yang mana Hari Malaysia mempunyai peranan besar sebagai asas pembinaan semangat kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong bertempat di Pantai Tanjung Kembang kelmarin.
Chee Kadir berkata memang wajar sambutan Hari Malaysia disambut setiap tahun kerana ia akan memperingatkan rakyat bahawa melalui pembentukan Malaysia, rakyat di Sabah dan Sarawak telah mencapai kemerdekaan dan bersatu hati serta berganding bahu dengan rakyat di Semenanjung untuk membina sebuah negara yang maju dan bersatu padu.
Beliau berkata untuk menyambut Hari Malaysia rakyat termasuk ahli politik perlu mengetepikan perbezaan politik masing-masing untuk sama-sama menyambut hari keramat itu.
“Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya membatalkan hasrat dan memadamkan semangat atau menjadi halangan kita untuk sama-sama menyambut Hari Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Chee Kadir turut menyeru penduduk di kawasan DUN Kabong untuk bersatu hati, mengekalkan perpaduan serta mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mereka.
Beliau berharap penduduk kampung tersebut memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan Konvoi Hari Malaysia yang disertai oleh 200 buah motosikal Pembawa Bendera Jalur Gemilang, Bendera Sarawak Dan Bendera GPS bermula dari pekan Kabong hingga ke Roban dan berakhir ke Pantai Tanjung Kembang Kabong.
Turut diadakan pameran daripada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba Dan Penyelamat Saratok, Jabatan Pengangkutan Jalan Betong, Pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan Bahagian Betong dan Hospital Saratok.
Chee Kadir kemudiannya merasmikan Padang Petanque di Pantai Tanjung Kembang serta turut merasmikan Perlawanan Petanque Tertutup Kabong dan jemputan Saratok.
Dalam pada itu, sebanyak 11 buah Jet Ski telah melakukan persembahan yang memulakan perjalanan dari bandar Sibu terus ke Kabong dengan menggunakan laluan laut.
Selain itu aktiviti MCK Mini Autoshow juga diadakan dan mendapat sambutan ramai anak muda dari kawasan Kabong dan kawasan lain.
Oleh Adi Safarman