BINTANGOR, 24 November: Seramai 50 kanak-kanak didedahkan kepada teknik menyelamatkan diri ketika kebakaran, termasuk kaedah berhenti, rebah dan guling serta latihan pengungsian bangunan bagi memupuk kesedaran mengenai keselamatan kebakaran sejak usia muda.
Pendedahan tersebut diberikan menerusi Program Kesedaran Awam sempena lawatan sambil belajar Tadika Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pendidikan keselamatan kebakaran sejak peringkat awal penting bagi memberikan pengetahuan asas kepada kanak-kanak mengenai tindakan yang perlu diambil ketika berhadapan dengan situasi kecemasan.

Katanya, pendekatan pembelajaran secara praktikal melalui demonstrasi dan latihan memberikan peluang kanak-kanak untuk memahami aspek keselamatan kebakaran dengan lebih mudah.
“Program yang bermula 9.00 pagi tersebut melibatkan seramai 86 peserta, terdiri daripada 50 kanak-kanak, enam guru pengiring dan 30 ibu bapa.
“Antara pengisian utama program ialah ceramah kesedaran kebakaran, latihan pengungsian bangunan serta demonstrasi teknik berhenti, rebah dan guling.
“Peserta turut diberikan pendedahan mengenai teknik menyelamatkan mangsa serta latihan menyelamatkan diri dalam persekitaran yang dipenuhi asap,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau berkata, penglibatan guru dan ibu bapa dalam program tersebut turut membantu memperluas pengetahuan mengenai langkah keselamatan yang boleh diterapkan di sekolah dan kediaman masing-masing.
“Selain itu, latihan memadam kebakaran turut diadakan dengan melibatkan penyertaan kanak-kanak dan ibu bapa bagi memberikan pengalaman praktikal mengenai penggunaan peralatan pemadaman kebakaran.
“Program tersebut turut diserikan dengan demonstrasi penggunaan tiang gelongsor bomba serta pengalaman menaiki jentera bomba, yang memberi peluang kepada kanak-kanak mengenali lebih dekat tugas anggota bomba dan penyelamat.
“Pameran peralatan kebombaan turut diadakan bagi memperkenalkan fungsi pelbagai kelengkapan yang digunakan anggota bomba ketika menjalankan operasi,” katanya.
Oleh Earl Anek



