Peruntukan RTP RM100,000 tingkat keselesaan tandas SJKC Sulai

Facebook
WhatsApp
DATUK Michael Tiang ketika meninjau projek menaik taraf tandas di SJK (C) Su Lai hari ini.

SIBU, 24 November: Kemudahan tandas yang lebih selesa kini dinikmati warga Sekolah Kebangsaan SJK (C) Su Lai selepas empat tandas sekolah itu selesai dinaik taraf menerusi peruntukan kira-kira RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi mengatasi masalah kemudahan sanitasi yang sebelum ini berada dalam keadaan kurang memuaskan.

“Saya berasa amat gembira kerana berpeluang mengunjungi SJK (C) Su Lai di kawasan saya pada pagi ini bagi melihat sendiri projek menaik taraf kemudahan tandas sekolah yang telah siap dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau projek tersebut di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerja naik taraf itu membabitkan dua tandas untuk murid perempuan dan dua tandas untuk murid lelaki bagi memastikan keperluan asas murid di sekolah berkenaan dapat dipenuhi dengan lebih baik.

Menurutnya, antara masalah yang dikenal pasti sebelum ini ialah kebocoran tandas sehingga menyebabkan air dari tingkat atas mengalir ke tingkat bawah, selain kerosakan dan kekurangan pada sistem paip serta saluran keluar air.

Keadaan itu memerlukan tindakan penambahbaikan bagi memastikan kemudahan tandas dapat berfungsi dengan baik dan memberikan keselesaan kepada pengguna.

Bagaimanapun, semua kerja yang dirancang kini telah disiapkan dan beliau berpuas hati melihat perubahan terhadap kemudahan berkenaan ketika mengadakan lawatan ke sekolah itu.

“Usaha meningkatkan kemudahan sekolah tidak seharusnya terhad kepada aspek bilik darjah dan prasarana pembelajaran sahaja, sebaliknya turut merangkumi kemudahan asas seperti tandas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menghargai komitmen Kerajaan Sarawak yang terus membantu menyediakan peruntukan pembangunan bagi meningkatkan kemudahan sekolah walaupun bidang pendidikan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Oleh Tarani Lanting