KUCHING: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras (beer) pelbagai jenama bernilai RM992,350 dalam operasi „Op Libas‟ yang dijalankan di sebuah rumah di Jalan Lapangan Terbang Kuching, baru-baru ini.
Pegawai Pemerintah Batalion 11 Pasukan Gerakan Am Kuching Superitenden Rosdi Inai berkata, operasi dijalankan oleh seramai 16 pegawai dan anggota dari Batalion 11 PGA pada 10.30 pagi susulan risikan dan maklumat yang diperolehi oleh pihaknya.
“Sebanyak 6,000 karton rokok (1,200,000 batang) yang disimpan di dalam kediaman tersebut berjaya dijumpai.
“Pemeriksaan lanjut juga telah dijalankan menjumpai sebanyak 65 karton minuman keras bir yang disembunyikan di dalam sebuah van yang terletak di kawasan kediaman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berhubung pemilikan barangan tersebut.
“Kedua-dua barang tersebut telah dirampas kerana disyaki belum lulus kastam dan kesemua barang rampasan.
“Selain itu, dua lelaki tempatan berusia 20 dan 55 tahun yang dipercayai pemilik kediaman terbabit turut ditahan.
“Hasil maklumat yang diperolehi, barangan ini dipercayai diseludup dari negara jiran melalui jalan darat mahupun air dan akan dipasarkan di sekitar Kuching.” jelasnya.
Ujarnya, kes diserah kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda minimum 10 kali nilai barang dan maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan masyarakat setempat untuk sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa khususnya PDRM bagi mengawal aktiviti penyeludupan atau apa jua perlakuan jenayah di kawasan setempat.