Arne Slot mengetuai Liverpool meraih kemenangan 1-0 di San Siro menentang Inter Milan. Foto AFP
MILAN (Itali): Pengurus Liverpool, Arne Slot, mendedikasikan kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi kepada para pemain yang dibawanya ke Itali, sambil enggan menambah api kepada perselisihan terbuka dengan penyerang bintang, Mohamed Salah.
Persiapan menjelang perlawanan itu dibayangi kritikan luar biasa Salah terhadap Slot, selepas pengendali Belanda itu sehari sebelum perlawanan mengakui bahawa beliau “tidak tahu” sama ada pemain tersebut sudah pun beraksi buat kali terakhir untuk The Reds setelah membuat keputusan untuk tidak membawanya ke Milan.

Salah mencetuskan drama besar di Liverpool apabila mendakwa beliau berasa seperti telah “dikorbankan” oleh kelab dan tidak lagi mempunyai hubungan dengan Slot selepas diketepikan dalam keputusan seri 3-3 menentang Leeds pada Sabtu lalu.
“Dalam sejarah gemilang Liverpool, mereka sudah melalui banyak malam seperti ini,” kata Slot kepada wartawan.
“Tetapi dalam musim yang kita lalui sekarang, jika kita berjaya menang di tempat lawan dalam stadium seperti ini menentang pasukan yang begitu kuat, maka cerita utamanya ialah mengenai pemain-pemain yang berada di sini; merekalah yang layak menerima pujian.”
Liverpool kini berada dalam kelompok lapan teratas Liga Juara-Juara selepas penalti lewat yang kontroversi oleh Dominik Szoboszlai menghadiahkan tiga mata di San Siro.
Slot mengakui Liverpool bertuah diberikan penalti yang menentukan kemenangan itu, tetapi merujuk kepada jaringan Ibrahima Konaté yang dibatalkan kerana handball — sesuatu yang beliau percaya tidak sepatutnya.
“Jika itu dikira penalti, kami mungkin sudah dapat 10 musim ini,” kata Slot.
“Itu penalti yang saya rasa tidak akan diberikan dalam Liga Perdana.
“Tetapi sekali lagi, saya rasa gol pertama kami lebih jelas sah, dan lebih salah untuk membatalkan gol itu berbanding memberikan penalti tersebut.”
Dalam saingan Liga Juara-Juara, Liverpool seterusnya akan berkunjung ke Marseille sebelum menentang Qarabag di Anfield bagi aksi terakhir fasa liga. – AFP