Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Keluarga enam beranak terperangkap, APM selamatkan mangsa banjir kilat di Menyalin Asal
  • Tengah
  • WILAYAH

Keluarga enam beranak terperangkap, APM selamatkan mangsa banjir kilat di Menyalin Asal

Utusan Sarawak 24 hours ago
ANGGOTA APM Debak dan Betong berjaya menyelamatkan sebuah keluarga enam beranak terperangkap di rumah mereka di Menyalin Asal, Debak selepas paras Sungai Menyalin meningkat secara mendadak susulan hujan lebat berterusan sejak petang tadi. Foto: APM Debak

DEBAK: Sebuah keluarga enam beranak berdepan detik cemas apabila terperangkap di rumah mereka di Menyalin Asal,di sini selepas paras Sungai Menyalin meningkat mendadak susulan hujan lebat berterusan sejak petang tadi.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki pada 5.35 petang yang memaklumkan keluarganya tidak dapat keluar berikutan arus sungai yang deras dan air mula memasuki kawasan halaman rumah.

Susulan laporan itu, APM Debak dengan bantuan logistik daripada APM Betong segera menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi sejauh 35 kilometer dan tiba sekitar 6.20 petang untuk melaksanakan operasi mengeluarkan mangsa.

Keluarga berkenaan terdiri daripada dua lelaki dewasa dan empat perempuan dewasa yang ketika kejadian berada di dalam rumah persendirian yang terletak sekitar 15 meter dari tebing sungai.

Hujan lebat menyebabkan paras air naik sehingga dua kaki di halaman rumah selain menjejaskan jambatan konkrit berhampiran.

Operasi menyelamat melibatkan gabungan sembilan anggota APM Debak dan Betong menggunakan bot gentian kaca, kenderaan pacuan empat roda dan peralatan keselamatan termasuk jaket keselamatan serta alat penyelamat air.

Semua mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat sekitar 7.10 malam sebelum dibawa ke rumah panjang berdekatan sebagai tempat perlindungan sementara.

Tiada kecederaan dilaporkan dan setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

APM Debak memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemantauan berkala di kawasan berisiko serta menasihati penduduk berhampiran agar sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan paras air sungai yang masih menunjukkan trend meningkat.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: RM650,000 laksana tiga projek RTP di DUN Simanggang
Next: APM Saratok laksana pemantauan Monsun Timur Laut, paras air terkawal 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.