

MIRI: Perayaan kebudayaan masyarakat Tering, ‘Ngelamaai Buraaq Idaang’ adalah simbol kesyukuran, perpaduan dan identiti masyarakat itu yang diwarisi sejak turun-temurun.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata perayaan berkenaan bukan sahaja meraikan kegembiraan hasil tuaian, tetapi turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha gigih komuniti serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
“Penglibatan generasi muda sangat penting bagi memastikan kesinambungan tradisi dapat diteruskan dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya ketika merasmikan perayaan tersebut di Dewan Masyarakat Mulu di Mulu hari ini.
Ting turut menggesa golongan belia agar terus aktif memelihara dan mempertahankan warisan budaya Tering, selain berbangga dengan identiti serta sejarah mereka.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Masyarakat Tering Miri, jawatankuasa penganjur serta pasukan tempatan di Mulu atas usaha gigih mereka menjayakan acara itu meskipun berdepan cabaran logistik berikutan pemindahan lokasi dari Marudi ke Mulu.
Menurut beliau, pemilihan Dewan Masyarakat Mulu sebagai lokasi sambutan amat bermakna kerana kawasan itu bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, malah memiliki kekuatan budaya yang tersendiri.
Perayaan yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk persembahan tarian tradisional, penceritaan rakyat dan sesi perkongsian ilmu.
Oleh Liong Chai Ling