
KUCHING: Seorang ibu buta merangkak ke tepi jalan untuk meminta pertolongan selepas anak perempuannya yang berusia lewat tiga puluhan meninggal dunia secara tiba tiba.
Wanita berusia sekitar tiga puluhan itu dilaporkan meninggal dunia secara tiba-tiba di sebuah pondok sekitar enam hari lalu.
Ibu tersebut berada di sisi mayat anaknya sebelum mengumpul kekuatan untuk merangkak ke tepi jalan hari ini bagi mendapatkan bantuan dan memaklumkan tentang kematian anaknya.
Kematian mengejut ini berlaku di sebuah pondok dalam kawasan hutan berhampiran Kampung Tambey, Kota Samarahan.
Ibu dan anak itu saling bergantung antara satu sama lain untuk meneruskan hidup serta bergantung kepada bantuan.
Difahamkan, si mati tinggal bersama ibunya dan rumah mereka berada pada jarak yang agak jauh dari jalan utama.
Mereka biasanya bergantung kepada bekalan bantuan yang diagihkan oleh pihak berkuasa untuk kelangsungan hidup.
Selepas melalui perjalanan yang sukar, ibu kepada si mati itu akhirnya berjaya merangkak dan meraba ke tepi jalan sekitar 6.00 pagi.
Orang awam yang melalui kawasan itu melihatnya lalu memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Utusan Sarawak telah menghubungi Polis Samarahan bagi mendapatkan pengesahan.
Oleh Connie Chieng