Projek RTB RM100 juta sasar kurangkan banjir di beberapa kawasan Kuching

Facebook
WhatsApp
DR Sim Kui Hian ketika menjelaskan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Maong Kiri yang bernilai RM100.2 juta bagi mengurangkan risiko banjir di beberapa kawasan sekitar Kuching.

KUCHING, 22 Oktober: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Maong Kiri bernilai RM100.2 juta dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir di beberapa kawasan sekitar Kuching, dengan pembinaan kolam takungan antara kaedah utama untuk menampung lebihan air ketika hujan lebat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata projek itu melibatkan intervensi di sepanjang kira-kira lima hingga enam kilometer sungai, merangkumi kawasan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke Hui Sing, Iris Garden, Timberland, The Podium, Sungai Maong hingga Stapok.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan langkah tebatan dilaksanakan secara berperingkat di kawasan yang dikenal pasti memerlukan penyelesaian, tanpa perlu membangunkan keseluruhan sungai yang memerlukan kos jauh lebih tinggi.

“Projek ini penting kerana kita bukan hanya menyelesaikan masalah di satu kawasan. Kita perlu melihat keseluruhan aliran air kerana air bergerak ke kawasan lebih rendah,” katanya ketika pelancaran projek itu di Lorong Rock, Taman Timberland, Kuching. 

Menurutnya, kaedah pelaksanaan berbeza mengikut keadaan tanah dan ruang yang tersedia. Di kawasan yang mempunyai tanah kerajaan atau rizab sungai, sungai boleh dilebarkan untuk menyediakan lebih banyak ruang bagi aliran air.

Bagaimanapun, di kawasan seperti Timberland yang mempunyai ruang terhad, kolam takungan diperlukan bagi menampung air sementara apabila paras sungai meningkat dan air tidak dapat mengalir keluar dengan segera.

Kolam itu dirancang mempunyai keluasan kira-kira 5,000 meter persegi dan kedalaman sekitar 10 kaki. Ia berfungsi sebagai kolam takungan kering atau ‘dry pond’, iaitu kawasan yang kebanyakannya kering tetapi menampung lebihan air ketika hujan lebat sebelum air dilepaskan semula secara berperingkat.

Dr Sim berkata, pendekatan itu membolehkan kawasan berkenaan digunakan untuk tujuan komuniti ketika tidak menakung air, sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah.

Beliau berkata, perbincangan mengenai landskap dan kemudahan rekreasi di kawasan kolam akan diteruskan selepas kerja utama disiapkan, dengan kemungkinan penggunaan seperti gelanggang sukan masih perlu diteliti.

IMEJ grafik Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Maong Kiri, Kuching yang bernilai RM100.2 juta dan dijangka siap pada 14 Mac 2029.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, berkata penduduk yang menggunakan taman berhampiran kawasan projek telah dimaklumkan mengenai pelaksanaan projek itu menerusi perbincangan bersama pihak majlis dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).

Beliau berkata, kawasan itu berpotensi ditambah baik menerusi landskap dan laluan joging, tertakluk kepada perancangan lanjut.

Selain pembinaan kolam takungan, skop projek merangkumi kerja menaik taraf saliran, penambahbaikan sungai, perlindungan tebing sungai serta kerja perobohan dan pemindahan yang diperlukan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak, Ir Law Wee, turut menjelaskan bahawa saliran konkrit bertetulang bertutup akan dibina dari kawasan Timberland Medical Centre bagi menyalurkan air ke sistem saliran seterusnya sebelum dilepaskan keluar. Reka bentuk saliran itu perlu mengambil kira kekuatan struktur bagi menampung beban kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Dr Sim berkata, pelaksanaan projek dijangka mengambil masa 30 bulan berikutan keadaan kawasan yang mempunyai pelbagai kemudahan utiliti, termasuk kabel dan paip air bawah tanah, yang memerlukan kerja pengesanan serta perancangan teliti bagi mengelakkan kerosakan dan gangguan kepada penduduk.

Beliau berkata, pelaksanaan projek tebatan banjir memerlukan perancangan menyeluruh kerana penyelesaian di satu lokasi sahaja tidak semestinya dapat mengatasi masalah air yang mengalir dari kawasan hulu ke hilir.

Projek berkenaan dilaksanakan oleh DID Sarawak dengan kos kontrak RM100,215,312.30 dan dijangka siap pada 14 Mac 2029.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How, serta wakil DID Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi