JAKKSA terus peduli kebajikan golongan kurang bernasib baik di Undop

Facebook
WhatsApp
GERALD menyampaikan sumbangan bakul makanan dan barangan keperluan asas dan sebuah kerusi roda kepada seorang warga emas di Rumah Panjang Rangga, Sungai Tenggak A. Foto JAKKSA

SIMANGGANG, 22 Oktober: Keprihatinan terhadap nasib golongan kurang bernasib baik terus menjadi keutamaan Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) menerusi program ziarah prihatin di kawasan Sungai Tenggak, Undop.

Program berkenaan menyaksikan beberapa keluarga di Rumah Panjang Rangga, Sungai Tenggak A menerima sumbangan bakul makanan dan barangan keperluan asas bagi membantu meringankan beban kehidupan harian mereka.

Rombongan yang diketuai Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling bersama ahli jawatankuasa itu turun padang menyampaikan sendiri bantuan berupa makanan kering, barangan dapur serta keperluan asas rumah kepada keluarga yang dikenal pasti memerlukan bantuan.

Menurut Gerald, inisiatif berkenaan dilaksanakan susulan maklumat dan keprihatinan penduduk setempat mengenai kesulitan hidup yang dihadapi keluarga terbabit.

Selain bantuan makanan, JAKKSA turut menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada seorang warga emas yang mengalami kesukaran bergerak bagi memudahkan urusan dan pergerakan hariannya.

Gerald berharap sumbangan yang disalurkan dapat membantu mengurangkan beban kewangan penerima, selain membawa sedikit keselesaan dan kegembiraan kepada keluarga yang disantuni.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Liobar Sapit, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan JAKKSA yang disifatkannya amat bermakna dalam membantu memenuhi keperluan bulan ini.

Beliau berkata bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat digunakan untuk menampung keperluan hariannya.

Program seumpama itu mencerminkan kepentingan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan, sekali gus memastikan kebajikan komuniti setempat terus mendapat perhatian.

Oleh Adi Safarman