PAKAN: Hari Sarawak, Hari Malaysia dan Hari Merdeka merupakan tiga detik peristiwa bersejarah yang harus diingati dan menjadi kebanggaan rakyat semua.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, ketiga-tiga hari bersejarah ini cukup besar maknanya tetapi jika rakyat tidak menghargainya kemungkinan perpaduan negara bahkan negeri mungkin akan tergugat.
“Sekiranya rakyat tiada sikap untuk mempertahankan identiti tersendiri, adalah sukar kita mempertahankan perpaduan.
“Kita harus mengutamakan perpaduan dan jangan berpecah belah antara satu sama lain,” katanya pada Program Merdeka @ Komuniti Kawasan P.209 Julau di Rumah Tayan, Sungai Lepong, Sarikei pada Sabtu lalu.
Mawan berkata, sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersatu dan mempunyai indentiti tersendiri agar pembangunan dapat dilaksanakan untuk negara.
“Tidak ada negara yang mahu diperintah oleh orang lain, tidak ada negara yang mahu ketinggalan dan tidak ada negara yang tidak mahu mempunyai identiti sendiri.
“Ini kerana, jika kita mempunyai identiti sendiri, kita akan mempunyai kebebasan, hak dan hala tuju dasar kita sendiri untuk menjadi negara maju seperti negara lain yang telah maju,” katanya.
Mengulas mengenai program itu, kata Mawan, ia merupakan salah satu contoh program yang boleh menyemai semangat perpaduan dan erti kemerdekaan kepada rakyat di kawasan pedalaman.
“Hari ini (12 September) saya berasa bangga melihat sikap dan keterujaan yang ditunjukkan penduduk di sini dan diharapkan program ini akan meningkatkan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan penduduk di rumah panjang ini,” katanya.