KUCHING: Sarawak dijangka menerima bayaran cukai jualan negeri 5% (SST) daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) selewat-selewatnya tahun ini.
Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali meyakini perkara itu berikutan semua rundingan untuk mencari penyelesaian komersial terhadap tuntutan cukai jualan bagi petroleum Sarawak terhadap Petronas diselesaikan pada hujung September ini.
“Jumlahnya kira-kira lebih RM2 billion tetapi jumlah tepat saya tidak ada kerana kita mengikut kiraan yang betul berapa jumlah minyak dijual dan dari mana (dan) ini yang perlu dibuat dahulu tetapi mereka (Petronas) akan bayar,” katanya.
Sharifah Hasidah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Baik Pulih Surau Darul Nur Dini di Kampung Sungai Midin di sini semalam.
Meyakinkan lagi Petronas akan membayar tuntutan cukai jualan negeri kepada Sarawak, Sharifah Hasidah mendedahkan tuntutan saman yang dibuat adalah bagi tahun 2019.
“Jadi kalau kita mahu (jumlah sebenar) perlu dikira termasuk penalti, faedah (cukai)… ia mengambil masa.
“Kita tunggu sabar apa yang saya yakin (pembayaran) dibuat tahun ini kerana persetujuan semua rundingan habis pada hujung September,” jelasnya apabila disoal pemberita lagi mengenai anggaran jumlah tuntutan yang akan dibayar oleh Petronas kelak.
Tambah Sharifah Hasidah lagi, hanya Petronas sahaja dianggarkan melebihi RM2 billion tuntutannya tidak termasuk syarikat minyak dan gas lain seperti Murphy dan Shell.
Terdahulu, Jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat pertama pada 17 Jun di Kementerian Kewangan dan dihadiri delegasi Sarawak yang diketuai Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta wakil Petronas.
Seterusnya pada 3 Ogos lalu di Mahkamah Rayuan, Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah menolak permohonannya bagi semakan kehakiman terhadap kerajaan negeri Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Negeri Sarawak berhubung isu cukai jualan berjumlah RM2 bilion.
Pada masa sama kerajaan Sarawak turut menarik balik rayuan balasnya berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi ke atas Cukai Jualan negeri.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan jawatankuasa berkenaan akan mengadakan mesyuarat ketiga pada 17 September ini di Kuching.
Oleh Diyana Samsuddin