KUCHING: Dua pengarah syarikat bergelar ‘Datuk’ dibebaskan Mahkamah Majistret Kuching setelah memberi keterangan berhubung kes rasuah dan tuntutan palsu berkaitan pelaksanaan projek naik taraf jalan luar bandar dibawah program ‘Jiwa Murni’ bernilai RM800 juta di Sarawak.
Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching, Dora Undau melepaskan kedua-duanya setelah perintah reman kedua mereka tamat semalam.
Kedua-dua suspek dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan ikat jamin berjumlah RM100,000 berserta seorang penjamin.
Pembebasan dua pengarah syarikat itu disahkan oleh peguam yang mewakili mereka, Wong King Wei ketika ditemui pemberita di ruang legar mahkamah.
Kedua pengarah syarikat tersebut yang masing-masing berusia 42 dan 44 tahun hadir ke mahkamah sekitar jam 9.10 pagi dengan berpakaian lokap SPRM serta tangan bergari sambil diiringi Pegawai SPRM.
Mereka ditahan dalam satu operasi khas SPRM dengan kerjasama Kementerian Pertahanan pada 8 September lalu mula direman pada 9 hingga 13 September bagi membantu SPRM melengkapkan kertas siasatan.
Kedua-dua suspek masing-masing diwakili peguam Shankar Ram, Lim Heng Choo dan Wong King Wei serta Albert Tang, Allan Lao, Lidwina Kiew dan Roger Chin.
Difahamkan, SPRM menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Mereka yang merupakan rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat yang memonopoli projek berkaitan pembinaan jalan.
“Projek itu menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak dinamakan ‘Projek Jiwa Murni’ di bawah Kementerian Pertahanan dan ia dianugerahkan kepada syarikat itu dari 2010 hingga 2016.
“Sumber berkata ada antara jalan itu tidak dapat digunakan dan rosak setelah beberapa bulan dibina manakala kawasan yang terlibat adalah Miri, Kapit, Ba’Kelalan, Limbang serta Belaga,”Tambah sumber berkenaan, lebih mengejutkan salah satu daripada syarikat yang memperoleh projek menaik taraf dan membaik pulih jalan-jalan berkenaan, disyaki dimiliki pengarah syarikat tersebut yang sebelum itu telah membina jalan raya dikawasan terlibat tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
Sumber berkata seharusnya syarikat-syarikat di bawah kawalan kementerian berkenaan disenarai hitam daripada memperolehi projek atas faktor kegagalan mereka melaksanakan projek terdahulu namun apa yang berlaku ialah mereka diberikan projek menggunakan nama syarikat lain.
Pada Rabu lalu, Mahkamah Majistret menolak permohonan pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman terhadap seorang peguam yang disiasat berhubung kes rasuah dan tuntutan palsu pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan bernilai RM800 juta di Sarawak.
Majistret Zubaidah Sharkawi membenarkan lelaki berusia dalam lingkungan 40an itu yang disiasat dalam kes sama, dibebaskan.
Terdahulu, pegawai penyiasat SPRM memohon reman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, suspek dibebaskan berikutan tiada bukti yang dapat mengaitkannya dengan projek pembinaan jalan tersebut.